Saturday, April 11, 2015

Mahkamah Mesir jatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin Ikhwanul Muslimin, 13 lain

Mahkamah Mesir jatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin Ikhwanul Muslimin, 13 lainMesir telah menjalankan hukuman mati ke atas seorang tertuduh sejak penggulingan Morsi. - Foto AP 
KAHERAH: Mahkamah di Kaherah pada Sabtu menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan 13 yang lain atas kesalahan melakukan protes keganasan.

Pada masa yang sama, hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang warga Amerika Syarikat (AS)-Mesir turut dikecam White House.

Dua daripada 14 defendan yang dijatuhkan hukuman mati itu telah melarikan diri ke luar negara dan akan berdepan perbicaraan sekiranya ditangkap.

Hakim Mohamed Nagy Shehata juga membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup kepada 23 tahanan lagi.

Kumpulan itu didakwa merancang keadaan huru-hara dari kem protes mereka di Kaherah beberapa bulan selepas pentadbiran tentera menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada Julai 2013.

Antara yang dipenjarakan seumur hidup ialah Mohamed Soltan, iaitu seorang warga AS-Mesir yang menjalankan mogok lapar. Bapanya Salah Soltan ialah antara yang dihukum mati.

White House mengecam hukuman penjara seumur hidup itu dan menggesa ‘pembebasan segera’.

“Kami sangat prihatin dengan tahap kesihatan Mohamed, yang menderita sejak penahanan selama 20 bulan.

“Pihak Presiden sangat komited terhadap kebajikan semua warga AS di luar negara dan kami akan memastikan Mohamed terus menerima sokongan konsulat sehingga dia dibawa pulang dengan selamat ke AS,” ujar jurucakap White House, Josh Earnest dalam satu kenyataan.

Hukuman tersebut boleh dipanjangkan ke Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini dilihat telah mengecewakan banyak permohonan untuk mengelakkan hukuman mati.

Sehingga kini, Mesir telah menjalankan hukuman mati ke atas seorang tertuduh sejak penggulingan Morsi, rentetan daripada keterlibatannya dalam pembunuhan seorang remaja semasa protes keganasan pada Julai 2013.

'Siapa suruh masak dalam kampus?' - Ahmad Maslan

'Siapa suruh masak dalam kampus?' - Ahmad MaslanAHMAD: 'Siapa suruh masak dalam kampus?' - Gambar fail 
KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta berhenti memanipulasi saranan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang meminta pelajar universiti untuk mengamalkan masak sendiri dari makan di luar bagi mengurangkan beban Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tegas Ahmad, ucapannya selama lebih dua jam 45 minit di Dewan Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada Sabtu itu dilihat menyentuh isu menyeluruh mengenai GST dan hal masak sendiri hanya tertakluk kepada mereka yang menyewa di luar sahaja.

"Saya berucap dua jam 45 minit, saya sebut macam-macam dan mereka hanya ambil satu ayat sahaja iaitu mengenai masak sendiri.

"Saya tidak kata masak di kampus, saya kata masak sendiri, lebih setengah pelajar tinggal di rumah sewa dan saya sarankan mereka untuk masak sendiri.

"Saranan itu bukan untuk pelajar yang duduk di dalam kampus. Kita juga sudah nasihatkan pengusaha kafe di dalam kampus untuk menjual dengan harga berpatutan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Ahmad mengulas kritikan pelajar universiti yang berpendapat bahawa saranan Ahmad itu mustahil untuk dilaksanakan apabila undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar untuk masak di dalam kampus.

Di laman Twitter, ada pelajar yang menyifatkan peralatan memasak dan alat pemanas air juga tidak dibenarkan dibawa ke dalam kampus

Dalam pada itu kata Ahmad, contoh yang diberi ialah anaknya pernah belajar di UiTM dan masak adalah ketika menyewa di luar kampus




"Saya sudah jelaskan semuanya, kita galakkan untuk mereka masak kalau sewa di luar dan pengusaha cafe tidak patut naikkan harga kerana bahan mentah tidak dikenakan GST, semuanya sudah jelas," ujarnya.

Tuntut royalti: Kelantan tak mengaku kalah

Abdul Fattah Mahmood
Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan strategi dan langkah seterusnya bagi membolehkan pihaknya mengemukakan soalan undang-undang berkenaan tuntutan royalti negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, walau bagaimana pun pihaknya tetap menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan mereka gagal mengemukakan soalan-soalan tersebut, semalam.

“Kita akan cuba apa yang patut, keputusan tersebut bagaikan dihalang untuk menerima soalan yang kita kemukakan, sekarang ini kita hanya boleh mendengar soalan daripada Petronas dan kerajaan (pusat) sahaja, sedangkan kita yang mengemukakan tuntutan.

“Kami akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat ini, Insya-ALLAH kami akan temui jalan penyelesaian terbaik, kita tidak mahu menghampakan harapan seluruh masyarakat Kelantan,  kita berharap selepas ini jika kita mengemukakan sekali lagi rayuan, mahkamah akan terima,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Kerajaan Kelantan semalam gagal dalam percubaannya untuk memasukkan 14 persoalan undang-undang dalam perbicaraan kes saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kerana didakwa melanggar kontrak berhubung royalti minyak.

Semasa menolak permohonan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rosnaini Saub memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan memutuskan tiga soalan teras undang-undang yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Satu persoalan ialah sama ada kerajaan Kelantan, sebagai plaintif, mempunyai sebarang hak di bawah undang-undang ke atas petroleum di dalam kawasan 'pelantar benua' sebagai yang ditakrifkan dalam Akta Pelantar Benua 1966 di luar pantai Kelantan dan hanya sebelum enakmen Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan pelaksanaan perjanjian yang bertarikh 22 Mac, 1975, antara plaintif dan yang defendan pertama, Petronas. Kerajaan persekutuan adalah defendan kedua.

Satu lagi soalan ialah berhubung apa hak negeri itu ke atas petroleum di kawasan daratan mahupun di luar pesisir Kelantan sebelum mula berkuatkuasanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 pada 1 Oktober,1974, dan pelaksanaan Perjanjian Kelantan dan Geran Kelantan pada 9 Mei 1975.

Rosnaini juga menolak permohonan peguam Tommy Thomas, yang mewakili kerajaan Kelantan, supaya menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, selain menetapkan dua hari mulai 23 November 2015 untuk mendengar saman itu.

Harus kutip cukai hanya bila darurat

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, Islam melarang pemimpinnya mengutip cukai daripada orang miskin untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Bagaimanapun beliau berkata, cukai tersebut harus dikutip apabila negara berada dalam keadaan darurat untuk tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

"Dalam Islam tidak membenarkan mengambil cukai daripada orang miskin. GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) itu orang kaya kena, orang miskin pun kena, tetapi dalam Islam tak boleh.

"Ketika sesebuah negara itu darurat kerana mempertahankan negara dari musuh, waktu itu harus. Ini kerana perbendaharaan negara kekeringan (habis sumber) jadi mengutip cukai itu harus untuk membeli persenjataan," katanya pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama Pas Pusat, di Padang Merbok, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata lagi, sebelum pemimpin mengutip cukai daripada rakyat, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya aset dan harta kerajaan terlebih dahulu.

"Sebelum ambil cukai, kena keluar aset kerajaan dulu, perbelanjaan mewah perlu dipotong dulu, jika tidak cukup, jual harta kerajaan, kalau tak cukup juga, baru kenakan cukai," katanya lagi.

Ramai tak setuju naik gaji MP

Ramai tak setuju naik gaji MP
Keratan Sinar Harian, semalam

SHAH ALAM - Orang ramai tidak bersetuju dengan kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen antara 45 hingga 57 peratus yang diluluskan Dewan Rakyat, kelmarin.

Pekerja swasta, Moha Kamar, 40, berkata, dia tidak bersetuju dengan kenaikan  yang diterima oleh wakil rakyat.

“Saya tidak menidakkan hak seorang wakil rakyat untuk mendapat kenaikan gaji. Namun, kenaikan ini tidak sesuai pada waktu ini.

“Kebanyakan rakyat tidak mendapat kenaikan gaji sedangkan kos sara hidup semakin meningkat hari demi hari. Tetapi, usul kenaikan gaji ahli parlimen pula diluluskan,” katanya.

Menurutnya, persepsi rakyat terhadap wakil rakyat akan bertambah buruk dengan kenaikan gaji itu.

P Kanyakumari, 25, juga melahirkan rasa amat kecewa dengan keputusan tersebut.

Dia yang bekerja di sektor swasta berkata, ahli parlimen sepatutnya memikirkan nasib rakyat sebelum memuktamadkan keputusan itu.

“Rakyat kini kurang kuasa untuk membeli dengan kenaikan harga pelbagai barang. Bagi saya, kenaikan ini tidak wajar sama sekali,” katanya.

Bagi peniaga, Muhamad Gadaffi Ab Rahman, 29, ahli parlimen seharusnya merasai sekali kesusahan yang dialami rakyat ketika ini.

“Seperti contoh, ada menteri meminta rakyat supaya berjimat cermat ketika berbelanja. Jadi, seharusnya, wakil rakyat juga perlulah mengikut saranan yang diberikan oleh menteri itu.

“Apabila wakil rakyat memberikan contoh yang baik, maka rakyat akan menyanjung tinggi serta menghormati mereka,” katanya.

Bayar rasuah boleh, cukai pun mesti boleh kan?

Abdul Hadi Awang
Hadi Awang

KUALA LUMPUR - Jumlah bayaran cukai yang dikenakan kepada golongan kaya didakwa lebih rendah berbanding jika mereka memberi rasuah untuk mendapatkan projek segera daripada kerajaan.

Demikian kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menegaskan orang kaya didakwa punca kepada berleluasanya jenayah tersebut.

"Berlakunya rasuah, (kerana) mereka orang-orang rasuah ini, orang kaya dia boleh bagi rasuah maka dia wajib bayar cukai.

"Barangkali kalau bayar cukai yang mengaitkan orang kaya lebih murah daripada bayar rasuah," katanya ketika berucap pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama Pas Pusat di Padang Merbok, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi juga menegaskan supaya kerajaan perlu memanfaatkan sumber kekayaan negara dengan sebaiknya dan tidak mengutamakan projek mewah yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Manfaatkan sumber hasil bumi yang ada dengan baik, jangan bocorkan, kita tidak lupa stadium runtuh...kita tidak lupa bangunan runtuh...jambatan runtuh...mahal pun runtuh...projek segera yang tidak mengikut peraturan-peraturannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu juga menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa untuk bertindak tegas, bebas dan tidak dipengaruhi dengan pengaruh politik.

"Hentikan projek-projek mewah, di sana banyak. Projek-projek mewah, projek yang tidak memberi pulangan kepada rakyat khususnya rakyat miskin," dakwanya.

Tambah beliau, dalam menangani masalah ekonomi, cukai bukan penawar kepada kemelut tersebut malah ia boleh menyebabkan inflasi dan kenaikan harga barang.

"Bukan mengenakan cukai yang baharu kepada kepada rakyat, cukai bukan ubatnya.

"Cukai boleh menyebabkan inflasi, menyebabkan kenaikan harga barangan, jangan cakap tak apa ...tak apa..kesannya akan berlaku inflasi," katanya lagi.

Mansuh lah cukai demi rakyat!

GST

KUALA LUMPUR - Himpunan Derita Rakyat (Hindar) dijadikan sebagai platform penyokong Pas dan orang ramai mendapatkan informasi mengenai GST dari sudut hukum Islam.

Rata-rata orang ramai yang hadir berhasrat untuk mendengar penjelasan daripada pemimpin bertaraf ulama.

Ab Halim Mokhtar,  59, yang datang dari Negeri Sembilan berkata, dia datang bersama keluarga untuk ke perhimpunan berkenaan.

“Saya datang kerana mahu dengar isu GST dan penjelasan daripada ulama terutamanya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Jika sebelum ini kita hanya dengar tentang isu ini di media,tapi hari ini kita faham bahawa GST ini memang tidak menguntungkan rakyat," katanya.

Menurutnya, kehadiran ribuan orang di Padang Merbok ini semalam bukti bahawa orang ramai tidak bersetuju dengan GST.

Seorang lagi pengunjung, Jamilah Rahim berkata, dia bersama rakannya datang untuk mendengar  penjelasan mengenai pelaksanaan GST yang sebelum ini amat mengelirukan.

"Kami ingin mendengar penjelasan daripada pihak yang ingin membela nasib rakyat," katanya.

Sementara itu, Zulkifli Muda, 55, pesara tentera yang datang dari Kuala Terengganu berharap kerajaan dapat mengkaji semula pelaksanaan cukai tersebut yang hanya akan menyebabkan golongan miskin merana.

“Harap ada perubahan daripada kerajaan dan  GST dapat dimansuhkan,” katanya.

Kucing jalanan jadi peneman

Kucing jalanan jadi peneman
Ahban menganggap kucing peneman hidupnya.
HIDUPNYA sebatang kara di kota raya hanya bertemankan kucing terbiar di kaki lima kerana tidak pernah mendirikan rumah tangga dan dipinggirkan keluarga sejak kematian kedua ibu bapanya.

Ahban Matsah, 61, berkata, masanya banyak dihabiskan menumpang tidur di kaki lima selepas pulang bekerja sebagai pencuci pinggang mangkuk di medan selera Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya.

Menurutnya, dengan memiliki sebuah basikal, dia dapat bergerak ke sana ke mari malah berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Dulu aku ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan...aku dirikan pondok di tanah rizab TNB untuk dijadikan tempat berteduh.

“Tapi aku jarang balik ke sana kerana tak ada elektrik dan air.

“Aku lebih selesa menumpang tidur di kaki lima bersama kucing-kucing belaan aku,” katanya.

Ahban berkata, meskipun mempunyai lapan adik-beradik yang masih hidup, namun hidupnya sebatang kara kerana sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing berada di Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi.

“Aku dah biasa hidup begini bertemankan kucing-kucing terbiar yang aku bela. Aku dah lama tak cari mereka (saudara-mara) dan mereka juga tak pernah cari aku.

“Masa muda-muda dulu aku pernah bertunang, tapi tunang aku berkahwin dengan orang lain. Lepas tu, aku dah tak fikir lagi pasal kahwin,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan kurang RM30 sehari mencuci pinggang mangkuk digunakan secara berjimat cermat untuk mengisi perut dan membeli makanan kucing.

“Aku sayangkan kucing. Aku makan kucing pun kena makan. Kalau aku tidur di kaki lima, kucing-kucing belaan aku akan temankan.

“Kalau ada kerja adalah duit, kalau aku tak kerja tak ada duit. Sebab itu walau aku letih sekalipun aku kena kerja kerana tak ada siapa tempat aku nak bergantung harap,” katanya.

Kerajaan perlu kembali kepada ekonomi Islam - Hadi Awang

Kerajaan perlu kembali kepada ekonomi Islam - Hadi AwangAbdul Hadi berkata amat menyedihkan apabila terdapat orang Islam sendiri yang menolak ekonomi berasaskan Islam. - Foto Astro AWANI 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan kembali kepada ekonomi Islam bagi menangani krisis ekonomi yang dikatakan melanda negara ketika ini.

Menurut beliau, pengutipan cukai seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukanlah jalan penyelesaiannya kerana ianya hanya akan mendorong kepada inflasi.

"Saya nasihatkan (kerajaan) supaya kembali kepada ekonomi Islam... (saya rasa) tidak jadi masalah kepada orang bukan Islam.

"Kalau kaum Cina dan India boleh terima (ideologi) kapitalisme, sosialime dan kapitalisme, mengapa mereka tidak boleh terima (ekonomi) Islam?

"Dalam menangani ekonomi, cukai bukan ubatnya," kata beliau pada ucapan penutup Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) anjuran Dewan Ulama PAS Pusat.

Ujar beliau, kapitalisme lebih membela orang kaya dan menzalimi orang miskin, manakala sosialisme pula membela orang miskin dan menzalimi orang kaya selain kedua-dua ideologi itu bersifat materialistik semata-mata.

"Kedua-dua teori tiada roh dan tidak berasaskan agama... dan dunia telah menyaksikan kedua-dua teori ini gagal.

"Lihat apa yang terjadi kepada Soviet Union... malah dengan Amerika Syarikat yang menanggung hutang yang berangka trilion sebab menghalalkan riba," katanya.

Selain itu, katanya amat menyedihkan apabila terdapat orang Islam sendiri yang menolak ekonomi berasaskan Islam.

Abdul Hadi turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menggunakan sumber tenaga manusia yang ada untuk membantu membina pendapatan negara.

"Apa Barisan Nasional (BN) buat dengan sumber negara yang kaya raya, dengan tenaga masyarakat yang pelbagai kaum.

"Mereka tidak manfaatkan sumber ekonomi negara setelah memerintah lebih setengah abad... (sebaliknya) masing-masing menyalahkan masing-masing," katanya lagi sambil meminta kerajaan bertaubat.

Selain menyebabkan inflasi, Abdul Hadi berkata GST juga akan menyebabkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan juga keadaan dimana peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 hadirin pada perhimpunan tersebut yang diadakan di Padang Merbok bagi membantah pelaksanaan GST.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, pemangku Timbalan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.

Ahmad Maslan dikritik saran pelajar masak bagi elak beban GST

Ahmad Maslan dikritik saran pelajar masak bagi elak beban GST
Saranan tersebut dilakukan Ahmad di dalam forum penerangan berkenaan GST kepada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dikiritik apabila menyarankan pelajar-pelajar universiti agar selalu mengamalkan masak sendiri dari makan di luar.

Saranan ini diberi beliau bertujuan bagi mengurangkan beban cukai barang dan perkhidmatan (GST) di kalangan pelajar.

Saranan tersebut dilakukan di dalam forum penerangan berkenaan GST kepada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Namun begitu, rata-rata pelajar universiti berpendapat bahawa saranan Ahmad itu mustahil untuk dilaksanakan apabila undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar ini untuk masak di dalam kampus.

Malah ada pelajar berkata peralatan memasak dan alat pemanas air juga tidak dibenarkan dibawa ke dalam kampus.

Ibu nekad selamatkan dua anak

Ibu nekad selamatkan dua anak
Kediaman yang diduduki Kasmawati musnah dalam kebakaran semalam

KOTA BHARU - Seorang ibu nekad menyelamatkan dua anaknya dari kebakaran walau dalam keadaan sehelai sepinggang di Kampung Surau Kota di sini semalam.

Mangsa, Kasmawati Mat Hussin, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur bersama dua anaknya, Mariam Izati Wan Imran, 8 dan Wan Abdul Qayum Afdal, 9 bulan.

“Ketika kejadian, saya sedang menyuapkan makanan kepada anak bongsu saya, Mariam yang keluar ke ruang tamu nampak api menjulang tinggi dari bilik tidur.

“Panik dengan keadaan itu, saya cuba menyelamatkan barangan dalam rumah, namun tidak berjaya memandangkan api semakin marak, lalu saya minta Mariam dukung adiknya dan lari ikut pintu belakang,” katanya kepada pemberita.

Kasmawati berkata, ekoran keadaan badan Mariam yang kecil dan bimbang dia terjatuh ketika mendukung adiknya , Kasmawati terus turun dan mendukung anak bongsunya dan memimpin tangan Mariam serta terus lari menyelamatkan diri.

“Mujurlah kami sempat melarikan diri lagipun api semakin marak. Kereta, motosikal dan barangan dalam kediaman tidak dapat diselamatkan namun saya bersyukur anak-anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Negeri, Anuar Abas berkata, empat jentera dihantar ke tempat kejadian dengan dua dari Kota Bharu, sebuah dari Balai Darul Naim, dan  Balai Tunjung dengan 24 anggota.

“Jentera keluar kira-kira jam 12.09 dan sampai di kawasan kejadian pada jam 12.13 tengah hari serta mengambil masa hampir lima minit untuk memadam kebakaran.

“Setakat ini punca kejadian dan kerugian masih belum dikenal pasti dan kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini,” katanya.

Aurat

terbaik 👌🏽

Bimbang anak kebuluran jika tak dibawa keluar

Bimbang anak kebuluran jika tak dibawa keluar

BANDAR BAHARU - Bapa pelajar Muhammad Wafiy Azizi Abd Aziz, 16, yang terperangkap di Aden, Yaman bimbang dengan keadaan anaknya yang kekurangan bekalan makanan.

Menurut Abdul Aziz Abu Bakar, 48, anaknya bersama rakan lain masih terperangkap di dalam masjid di kawasan Aden tempat mereka menuntut.

Katanya, maklumat terkini yang diterimanya melalui Lukman Mansor, 20, iaitu rakan anaknya memberitahu, bekalan makanan semakin berkurangan.

“Saya bimbang dengan keadaan anak dan pelajar lain di sana kerana kedai untuk mendapatkan bekalan juga sudah musnah dan ditutup kerana penduduk di kawasan itu berpindah ke tempat lain.

“Saya harap kerajaan segera selamatkan mereka yang masih terperangkap kerana sekarang keadaan telah reda namun tak tahu sampai bila,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur keadaan anak dan rakan-rakannya itu sihat serta tidak mengalami sebarang tekanan.

“Alhamdulillah anak saya sihat begitu juga rakan yang lain, saya harap keadaan kembali pulih dan mereka tidak diapa-apakan,” katanya.

Isterinya, Rosmah Mustaffa, 46, berkata, walaupun bimbang dengan keadaan anak mereka, namun maklumat yang diterima melegakan mereka sekeluarga.

“Setakat ini anak saya sentiasa berhubung dengan kami, selain  ketua pelajar mereka di sana juga sentiasa memaklumkan keadaan mereka di sana.

“Saya yakin kerajaan juga sedang berusaha untuk memastikan anak saya serta rakyat Malaysia yang berada di sana selamat dan dibawa pulang segera sekiranya keadaan negara itu terus meruncing,” katanya.

Rosmah berkata, ucapan kata semangat yang diberikan waris pelajar terlibat juga memberi kekuatan kepadanya.

“Kata rangsangan daripada ibu bapa pelajar lain mendorong saya untuk bersabar dan berdoa supaya mereka semua selamat,” katanya.

Adam Sandler si 'tukang kasut'

Adam Sandler si 'tukang kasut'
Adam Sandler si 'tukang kasut'

ADAM Sandler dan komedi tidak dapat dipisahkan lagi. Bagi peminat tegar, pastinya cukup kenal dengan lakonan serta filem aktor kelahiran New York ini. Memulakan karier seni seawal usia 17 tahun menerusi rancangan popular, Remote Control, ia menjadi platform untuknya mencuba nasib di layar perak.

Going Overboard (1989), merupakan filem pertamanya sebagai pelakon komedi dan dari situ semakin banyak tawaran yang diterima untuk membintangi filem di bawah genre sama. Billy Madison (1995), Happy Gilmore (1996),  The Waterboy (1998), The Wedding Singer (1998), Big Daddy (1999), dan Mr Deeds (2002), merupakan antara filem komedi lakonannya yang cukup berkesan.

Seiring usianya, Sandler masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit Hollywood untuk membintangi filem seumpama ini dengan menjanjikannya sebagai teraju utama.  
Terbaru, bintang berusia 49 tahun ini tampil dengan filem The Cobbler, arahan Thomas McCarthy.

Mengangkat kisah tukang kasut, filem ini memperlihatkan aktor kesayangan ramai ini dalam karakter yang agak membosankan. Sebagai Max Simkin, dia bukan sahaja sering kelihatan murung, bahkan tidak terurus dan menjaga ibunya yang tua.

Namun, kehidupannya mula berubah setelah dia menemui keajaiban sebuah mesin kasut lama peninggalan bapanya. Dengan menggunakan mesin jahit tersebut, Max dapat 'bertukar' menjadi individu pemilik kasut tersebut. Bermulalah pengembaraannya yang melucukan buat Max. Bagaimanapun, dari situ, dia mula terjebak insiden jenayah yang akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Secara keseluruhan, The Cobbler bukanlah filem terbaik lakonan Sandler, namun ia tetap menghiburkan.

Memilih bandar yang padat, New York sebagai lokasi utama penggambaran, filem ini mengangkat konflik masyarakat di situ, yang mana golongan atasan sanggup menindas golongan miskin untuk kepentingan sendiri.

Kritikan sosial

Sesuai dengan genrenya, realism-comedy-drama, The Cobbler punya kekuatan tersendiri menerusi mesej yang dipaparkan. Meskipun kurang nilai humornya, namun ia sebenarnya sarat dengan sindiran dan kritikan sosial di negara yang maju seperti Amerika. 

Masalah jenayah, penempatan dan penindasan tetap berlaku demi kepentingan serta sikap tamak yang menguasai diri sendiri. 

Malah, menerusi watak Max Simkin kita dapat melihat Max dalam pelbagai karakter manusia dan bagaimana dia memilih nasibnya sendiri. Dengan keajaiban yang dimiliki, Max sebenarnya mampu melakukan apa sahaja, termasuk mengubah takdirnya, namun dia memilih untuk terus setia dengan sikapnya yang jujur dan lurus bendul. 

Sepanjang pertukaran karakter yang dilakukan, 'skaf merah' akan menjadi signifikasi kepada diri Max. Ia memberi tanda kepada penonton untuk mengenali Max. Malah itu juga kebijaksanaan yang terletak pada pengarahnya, agar penonton tidak keliru dengan karakter-karakter yang ditonjolkan.

Gadis maut ditikam bekas tunang

tikam

KLUANG - Seorang gadis meninggal dunia selepas ditikam di rusuk kiri menggunakan pisau oleh bekas tunangnya, di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa sedang bekerja di pasar raya terbabit.

"Dipercayai berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang kedua-duanya berumur lingkungan 20an sebelum kepala mangsa terhentak di sebuah motosikal kerana ditolak oleh mangsa.

"Kemudian ditikam di rusuk kiri dari arah belakang menggunakan pisau pemotong sayur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Roze berkata, kejadian dipercayai bermotifkan cemburu apabila suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa gadis berkenaan yang berasal dari Felda Ulu Dengar, di sini, sudah bertunang dengan lelaki lain.

Beliau berkata, suspek cuba memujuk kembali mangsa yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, namun, tidak berjaya sebelum bertindak agresif sehingga menikam mangsa.

Katanya, polis menemui pisau berkenaan di tempat kejadian dan gadis itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.

"Polis sudah mengenal pasti suspek dan operasi memburunya sedang giat dilakukan," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.