KOTA BHARU – Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan strategi dan langkah seterusnya bagi membolehkan pihaknya mengemukakan soalan undang-undang berkenaan tuntutan royalti negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, walau bagaimana pun pihaknya tetap menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan mereka gagal mengemukakan soalan-soalan tersebut, semalam.

“Kita akan cuba apa yang patut, keputusan tersebut bagaikan dihalang untuk menerima soalan yang kita kemukakan, sekarang ini kita hanya boleh mendengar soalan daripada Petronas dan kerajaan (pusat) sahaja, sedangkan kita yang mengemukakan tuntutan.

“Kami akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat ini, Insya-ALLAH kami akan temui jalan penyelesaian terbaik, kita tidak mahu menghampakan harapan seluruh masyarakat Kelantan,  kita berharap selepas ini jika kita mengemukakan sekali lagi rayuan, mahkamah akan terima,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Kerajaan Kelantan semalam gagal dalam percubaannya untuk memasukkan 14 persoalan undang-undang dalam perbicaraan kes saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kerana didakwa melanggar kontrak berhubung royalti minyak.

Semasa menolak permohonan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rosnaini Saub memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan memutuskan tiga soalan teras undang-undang yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Satu persoalan ialah sama ada kerajaan Kelantan, sebagai plaintif, mempunyai sebarang hak di bawah undang-undang ke atas petroleum di dalam kawasan 'pelantar benua' sebagai yang ditakrifkan dalam Akta Pelantar Benua 1966 di luar pantai Kelantan dan hanya sebelum enakmen Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan pelaksanaan perjanjian yang bertarikh 22 Mac, 1975, antara plaintif dan yang defendan pertama, Petronas. Kerajaan persekutuan adalah defendan kedua.

Satu lagi soalan ialah berhubung apa hak negeri itu ke atas petroleum di kawasan daratan mahupun di luar pesisir Kelantan sebelum mula berkuatkuasanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 pada 1 Oktober,1974, dan pelaksanaan Perjanjian Kelantan dan Geran Kelantan pada 9 Mei 1975.

Rosnaini juga menolak permohonan peguam Tommy Thomas, yang mewakili kerajaan Kelantan, supaya menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, selain menetapkan dua hari mulai 23 November 2015 untuk mendengar saman itu.