
KOTA BHARU - Seorang ibu nekad menyelamatkan dua anaknya dari kebakaran walau dalam keadaan sehelai sepinggang di Kampung Surau Kota di sini semalam.
Mangsa, Kasmawati Mat Hussin, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur bersama dua anaknya, Mariam Izati Wan Imran, 8 dan Wan Abdul Qayum Afdal, 9 bulan.
“Ketika kejadian, saya sedang menyuapkan makanan kepada anak bongsu saya, Mariam yang keluar ke ruang tamu nampak api menjulang tinggi dari bilik tidur.
“Panik dengan keadaan itu, saya cuba menyelamatkan barangan dalam rumah, namun tidak berjaya memandangkan api semakin marak, lalu saya minta Mariam dukung adiknya dan lari ikut pintu belakang,” katanya kepada pemberita.
Kasmawati berkata, ekoran keadaan badan Mariam yang kecil dan bimbang dia terjatuh ketika mendukung adiknya , Kasmawati terus turun dan mendukung anak bongsunya dan memimpin tangan Mariam serta terus lari menyelamatkan diri.
“Mujurlah kami sempat melarikan diri lagipun api semakin marak. Kereta, motosikal dan barangan dalam kediaman tidak dapat diselamatkan namun saya bersyukur anak-anak selamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Negeri, Anuar Abas berkata, empat jentera dihantar ke tempat kejadian dengan dua dari Kota Bharu, sebuah dari Balai Darul Naim, dan Balai Tunjung dengan 24 anggota.
“Jentera keluar kira-kira jam 12.09 dan sampai di kawasan kejadian pada jam 12.13 tengah hari serta mengambil masa hampir lima minit untuk memadam kebakaran.
“Setakat ini punca kejadian dan kerugian masih belum dikenal pasti dan kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment