Tuesday, April 7, 2015

Usaha Projek Tanaman Cili Kulai

Usaha projek tanaman cili kulai
SEBERANG TAKIR - Koperasi Rukun Tetangga Telaga Batin Terengganu Berhad melabur kira-kira RM35,000 untuk mengusahakan projek tanaman cili kulai di atas tanah seluas hampir satu hektar dalam usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi ahli mereka.

Tanaman secara fertigasi yang diusahakan awal Februari lalu yang bakal menuai hasil pertama selewatnya penghujung bulan ini juga adalah tanaman yang diusahakan secara bersama oleh kira-kira 20 ahli yang turut melabur dalam projek tersebut.

Lebih menarik, selain menjadi satu-satunya KRT yang menubuhkan koperasi, KRT Telaga Batin juga turut muncul sebagai jawatankuasa pertama di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang mengusahakan tanaman secara berkelompok itu.

Pengurus projek, Mohd Ariff Din berkata, buat permulaan sebanyak 3,000 pokok cili ditanam di dalam 'polybag' dan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memperoleh hasil dan boleh dijual.

“Sebenarnya sebelum kita memilih untuk memulakan projek tanaman ini, kita ada juga berbincang untuk menanam sayur-sayur yang lain.

“Tetapi setelah mengambil kira semua pandangan termasuk pasaran dan harga yang agak tinggi, kita pilih untuk usahakan tanaman cili ini. Alhamdulillah sepanjang mengusahakan projek ini kita tidak berdepan dengan ancaman serangga perosak yang agak serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak projek di Kampung Telaga Batin, di sini, semalam.

Tambah Mohd Ariff, pihaknya juga merancang untuk mengusahakan tanaman lain selepas semua hasil cili ini dituai kerana berdasarkan nasihat petani yang berpengalaman, untuk mengelak risiko berlaku ancaman serangga perosak dan penyakit lain adalah perlu melakukan penggiliran tanaman.

“Kami bercadang untuk tanam sayur-sayur lain seperti timun, bendi dan sebagainya sebaik semua hasil cili ini telah dipetik sepenuhnya nanti,” katanya.

Mengulas mengenai cara pemasaran, katanya, perkara itu tidak mendatangkan masalah kerana permintaan terhadap cili jenis kulai sememangnya sentiasa ada, selain telah ada beberapa pihak yang menyatakan minat untuk mendapatkan bekalan cili tersebut.

Yaman: 14 lagi rakyat Malaysia tiba


Yaman bergolak
KUALA LUMPUR - Seramai 14 lagi rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman selamat tiba di tanah air dengan Penerbangan Qatar Airways QR852 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, 8.50 malam ini, menurut seorang jurucakap Kementerian Luar.

Jurucakap itu berkata, mereka telah berlepas dari Doha.

Ini menjadikan seramai 121 orang rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman selamat tiba di tanah air, berikutan pergolakan di negara itu.

Mereka tiba menerusi empat penerbangan hari ini.

Seramai 107 orang tiba menerusi tiga penerbangan lebih awal.

Malaysia Airlines MH151, mendarat pada 11.58 pagi dan membawa 49 orang; penerbangan Sri Lankan Airlines UL314 mendarat pada pukul 2.05 petang (17 orang) dan penerbangan Emirates EK346 mendarat pada pukul 3 petang (41 orang).

"Esok 32 lagi rakyat Malaysia dijangka dibawa pulang ke Malaysia menerusi dua penerbangan iaitu Malaysia Airlines MH151 dan Saudi Airlines SV832," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Katanya, penerbangan MH151 yang akan membawa 27 orang rakyat Malaysia dijangka tiba di KLIA pada pukul 11 pagi sementara penerbangan SV832 yang membawa lima rakyat Malaysia dijangka tiba pada pukul 1 tengah hari. - Bernama

Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich


Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich


Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich

‘HEBAT dan membanggakan’ apabila sebuah restoran jati anak Melayu berjaya menerobos cita rasa Mat Salleh di bumi Zurich, Switzerland sehinggakan berjaya menjadi antara restoran pilihan dan popular di bumi Eropah.

Apa yang lebih mengkagumkan restoran tersebut dinobatkan sebagai restoran nombor satu selama tiga bulan pada tahun 2014 oleh portal Tripadvisor, mengalahkan lebih 1,400 restoran sekitar Zurich.

Malahan, My Kitchen sekarang menjadi satu ikon utama restoran halal, Melayu dan makanan Asia di Eropah.

Pemiliknya, Zamri Ismail, 49, berkata antara punca pencapaian tersebut adalah kerana cita rasa masakan Melayu asli serasi dengan selera antarabangsa.

“Roti canai, rendang, teh tarik, nasi lemak, ikan pais, sate ayam antara pilihan utama mereka. Kami benar-benar terkejut dengan sambutan tersebut, rupa-rupanya mereka suka masakan Melayu asli.

Pencapaian itu, katanya telah menyebabkan pihak akhbar tempatan Zurich dan pengkritik restoran temu ramah dia sebanyak 2 kali dan menyiarkan artikel yang berjudul ‘kenapa masyarakat perlu pergi ke restorannya’.

Restoran yang menyajikan makanan Melayu halal itu, turut menjadi pilihan semua generasi termasuk ahli korporat, pelajar dan pelancong, selain kerabat diraja yang melawat Zurich.

“Ada yang terkejut ada restoran anak Melayu di Zurich, terutama pelancong dari Malaysia.

“Selain itu pengunjung ke restoran kami adalah warga antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia dan ada yang belum melawat Malaysia atau merasa makanan Malaysia. Mereka kagum dengan konsep ‘we make you feel at home’,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selain masakan utamanya seperti nasi lemak, dia turut menyediakan kuih-kuih tradisional Melayu.

Kuih ketayap dan sagu gula melaka menjadi kegemaran masyarakat antarabangsa sebagai pilihan pencuci mulut.

My Kitchen ditubuhkan pada tahun 2008 di bumi Zurich bermula dengan konsep 'take a way' dan ianya diubahsuai pada awal 2014 kepada konsep restoran atas permintaan pelanggan setia.

Pasangan yang telah lebih 17 tahun mencari rezeki di bumi Switzerland turut berkongsi pengalaman pelanggan mereka menerusi laman Facebook 'My Kitchen Zurich'.

Bagi pemiliknya, sebagai anak Melayu dan Malaysia dia berbangga dengan pencapaiannya dan berharap anak Melayu lain di tanah air menanam ‘niat’ yang sama dengannya.

Baginya, anak Melayu boleh berjaya walau di mana mereka berada, yang penting kesungguhan dan semangat yang tinggi.

Malaysia boleh!

Hanya Pandangan Peribadi Tun M

MUAR - Kritikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pandangan bersifat peribadi sebagai ahli Umno.

Veteran Umno Bahagian Bakri, Bahar Siran berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada orang ramai untuk membuat penilaian dengan teguran itu kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza.

“Setiap ahli Umno ada hak memberikan pandangan mereka mengenai kepimpinan seseorang pemimpin negara.

“Begitu juga Dr Mahathir, saya berpendapat beliau (Dr Mahathir) membuat kritikan terbuka kerana sayangkan negara ini dan mahu Malaysia terus maju,” katanya semalam.

Bahar berkata, ahli Umno perlu akur dengan etika dan peraturan parti.

“Kedudukan seorang pemimpin boleh ditentukan sama ada dalam persidangan perwakilan peringkat bahagian dan perhimpunan agung Umno Malaysia.

“Ini kerana dua mesyuarat ini menjadi platform kepada ahli atau perwakilan menyuarakan pandangan mereka mengenai sesuatu perkara untuk kelangsungan parti,” katanya.

Berhubung kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin yang menyatakan tindakan Dr Mahathir boleh memberi kesan negatif sekiranya tindakan tegur menegur dilakukan secara tidak berhemah, Bahar berkata, teguran mantan perdana menteri itu cukup berhemah kerana beliau juga bekas presiden Umno.

Katanya, sebagai seorang pemimpin yang baik, sememangnya perlu ditegur dan menerima teguran orang lain dan dia menyifatkan teguran itu adalah bersifat positif.

Dr Mahathir melalui artikel bertajuk Umno dan PRU14 di blog che-det.cc memberitahu bahawa rakyat sudah tidak percaya lagi terhadap kepimpinan Najib.

Mereka Ugut Nak Sembelih Mak Cik

TUMPAT - Seorang warga emas dalam perjalanan ke masjid menempuh detik cemas apabila ditarik ke dalam kereta sebelum disamun dan kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan di perkampungan Siam dekat Kampung Gelang Kecik, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Mek Som Teh, 84, dari Kampung Padang Tembesu, di sini, patah jari kelingking dan bengkak di lengan.

Kejadian itu juga menyebabkan Mek Som kerugian RM10,000 apabila gelang emas dan dua bentuk cincinnya dilarikan dua penyamun yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

Menceritakan detik cemas itu, Mek Som berkata, dia berjalan kaki ke masjid berkenaan sejauh 200 meter untuk menunaikan solat Maghrib.

Tiba-tiba katanya, sebuah kereta berhenti dan keluar seorang lelaki tidak dikenali bertanya jalan sebaik dia sampai di hadapan masjid tersebut.

Menurutnya, sepantas kilat lelaki terbabit menariknya  ke dalam kereta dan membungkusnya dengan kain selimut.

“Makcik menjerit sekuat hati minta tolong, jerit ada orang jahat tetapi tiada siapa mendengar. Di dalam kereta, lelaki tersebut meraba cari barang kemas di badan makcik dan menemui gelang serta cincin.

“Makcik terbaring di celah kerusi belakang. Makcik tak nampak mereka sebab mata tertutup selimut, hanya dengar suara mereka ugut nak sembelih makcik jika tidak ikut cakap. Seorang dengan makcik, seorang lagi memandu kereta," katanya.

Mek Som berkata, selepas barang kemasnya diambil, dia ditolak keluar dari kereta dan tergolek jatuh ke dalam semak.

Menurutnya, dalam keadaan tidak bermaya dan sakit badan, dia merangkak bangun ke jalan kampung Gelang Kecik meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang berhenti.

“Mungkin mereka takut nak berhenti sebab makcik pakai telekung dan jalan di situ agak sunyi serta gelap.

“Makcik cuba melintas jalan untuk ke rumah seorang penduduk di situ tetapi disalak tiga ekor anjing. Mujur lalu sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki bersama pasangannya membantu,” katanya.

Menurutnya, dia membonceng motosikal lelaki terbabit bersama pasangannya untuk pulang dan tiba di rumahnya, jam 8.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Zaharudin turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mendedahkan barangan kemas yang dipakai, elak berjalan di kawasan sunyi berseorangan dan utamakan keselamatan.

Penoreh Terbeban GST



KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu terus mendapat kritikan dan sindiran pelbagai pihak, termasuk daripada Pengerusi Lajnah Kemasyarakatan dan Kebajikan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang menggelar GST sebagai Getah Susu Takdok (tiada).

GST digelar sedemikian rupa kerana dianggap seiring dengan situasi yang berlaku sekarang khususnya melibatkan golongan penoreh getah.

Azman berkata, rakyat terutama penoreh getah bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barangan, malah terpaksa berhadapan dengan keadaan susu getah yang semakin berkurang akibat musim luruh.

“Daun getah yang banyak luruh tak boleh guna untuk buat beli beras, beli gula dan belanja anak sekolah.

“Maklumat daripada kawan yang kerja beli ‘pok’ getah (getah sekerap), musim daun luruh seperti sekarang, ‘pok’ getah akan jadi lebih ringan daripada biasa. Sudahlah harganya sekitar RM2 sahaja sekilo.

“Kalau kerja NGO (noreh getah orang) lagi parah. RM2 kena bahagi dua pula dengan tuan punya kebun. Dapatlah RM1 seorang,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Azman turut membayangkan kesukaran penoreh getah tanpa punca pendapatan utama dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Justeru, beliau meminta supaya pemimpin atasan lebih prihatin untuk mengatasi masalah dihadapi penoreh getah itu.

“Bila pokok getah mula keluar pucuk baru, lagilah getah tak keluar susu. Biasanya pada Jun, barulah getah akan keluarkan susu seperti sedia kala, sedangkan pokok getah dah mula mogok susu dari pertengahan Mac lagi. Dua bulan lebih penoreh getah hidup tanpa punca pendapatan utama,” katanya.

Mangsa Banjir Masih Tidur Dalam Khemah.



KUALA KRAI - Genap 100 hari banjir besar melanda Kuala Krai Disember tahun lalu, tidak banyak perubahan berlaku.

Masih ramai belum mendapat rumah dan ramai juga yang masih menunggu rumah dibaik pulih.

Perubahan yang jelas cuma sisa-sisa kediaman yang suatu ketika dahulu memenuhi jalan dan segenap ruang kampung kini kesemuanya telah dialihkan sebaik penduduk kembali ke kediaman masing-masing.

Bagi kawasan terjejas teruk iaitu Manek Urai yang menjadi viral di laman sosial di sebalik bencana di luar jangkaan itu, hanya lima kediaman kekal siap dibina untuk mangsa kehilangan rumah.

Lima penduduk bertuah ini bakal mendiami rumah kekal dibina kerajaan yang telah pun siap.

Bagi Rohani Majid, 71, dia rasa bertuah terpilih menerima rumah kekal daripada 138 penduduk di Manek Urai Selatan.

Menurutnya, rumah tiga bilik dan dibina dengan tiang agak tinggi sesuai sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada masa akan datang.

Ibu tunggal ini berkata, banjir 2014 merupakan kali pertama kediamannya dinaiki air seterusnya musnah sejak tinggal di kampung berkenaan pada 1960.

“Banjir 1967 antara yang terburuk berlaku, tetapi cuma dua anak tangga yang tenggelam. Namun di sebalik musibah agak berat ini, saya bersyukur  Tuhan gantikan saya kediaman baru,” katanya yang kehilangan suami tersayang akibat sakit, tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Zariah Yakob, 53, turut meluahkan rasa syukur turut menerima rumah kekal dibina kerajaan.

Menurutnya, ketika melihat kediamannya musnah, hidupnya bagai hilang arah kerana memikirkan tempat untuk dia dan keluarga berlindung.

Namun setelah dimaklumkan terpilih menerima rumah dari kerajaan, hanya rasa syukur mampu dipanjatkan kepada Tuhan Yang Esa.

“Saya sangat gembira menerima rumah yang telah siap dan akan diduduki tidak lama lagi.

“Walaupun sedih hilang rumah yang saya diami sejak zaman kanak-kanak lagi, tapi saya pasrah, ada hikmah di sebalik banjir besar baru-baru ini,” luah ibu tujuh anak ini.

Sementara itu, Rubiah Abd Latif, 37, berkata, dia terkilan suaminya, Abdullah Latif, 60, tidak sempat tinggal di rumah baharu.

Menurutnya, beliau dan suami telah dimaklumkan akan menerima rumah kekal.

“Kerja-kerja memunggah kayu mengambil masa menyebabkan rumah kami belum dibina bersama lima rumah yang telah siap. Saya berharap akan dapat mendiami rumah kekal selepas ini,” katanya.

Di sebalik kegembiraan mangsa banjir menerima rumah, masih ada yang menghuni khemah sejak selepas banjir di Manek Urai.

Bagi Siti Khadijah Yusog, 55, 100 hari tinggal di bawah khemah detik yang sukar digambarkan.

Menurutnya, dia dan suami terpaksa menahan bahang panas berada di dalam khemah pada siang hari.

Ibu empat anak ini berkata, sebelah malam bahang panas turut dirasai walaupun agak berkurangan berbanding siang hari.

“Saya masih mengharap agar dapat mendiami rumah kekal. Sekiranya ada pihak yang menawarkan rumah sementara ketika ini saya terima kerana sudah tidak sanggup tinggal di bawah khemah,” katanya.

Bagi kawasan Manek Urai Selatan, kini hanya sembilan rumah yang memiliki geran telah dibaiki.

Jumlah keseluruhan rumah rosak dan perlu dibaik pulih pula 271 buah dan 170 diluluskan untuk baik pulih.

cc: sinar harian

CINTAKU DI MADINAH


Ini kisah 2013, cita2 ke tanah suci tercapai...pada mula nya sudah letak target '' jika aku dapat gold medal SUKMA 2012 ni, duit habuan tu akan ku mengerjakan Umrah'' . Dengan izin Allah, Menteri Besar mengumumkan untuk menghantar atlet yg berjaya mengerjakan umrah,dalam hati hanya Tuhan yg tahu betapa gembira nya hati ini..sekian short film dr sy..haha

Warga Emas Dirompak dan Dipukul


Seorang warga Emas Dirompak malah turut dipukul..ape kejadah nya manusia zaman sekarang.

Pengorbanan Seorang Ibu.


Pengorbanan Seorang ibu yg ingin anak nya berjaya dimasa akan datang.