ADAM Sandler dan komedi tidak dapat dipisahkan lagi. Bagi peminat tegar, pastinya cukup kenal dengan lakonan serta filem aktor kelahiran New York ini. Memulakan karier seni seawal usia 17 tahun menerusi rancangan popular, Remote Control, ia menjadi platform untuknya mencuba nasib di layar perak.

Going Overboard (1989), merupakan filem pertamanya sebagai pelakon komedi dan dari situ semakin banyak tawaran yang diterima untuk membintangi filem di bawah genre sama. Billy Madison (1995), Happy Gilmore (1996),  The Waterboy (1998), The Wedding Singer (1998), Big Daddy (1999), dan Mr Deeds (2002), merupakan antara filem komedi lakonannya yang cukup berkesan.

Seiring usianya, Sandler masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit Hollywood untuk membintangi filem seumpama ini dengan menjanjikannya sebagai teraju utama.  
Terbaru, bintang berusia 49 tahun ini tampil dengan filem The Cobbler, arahan Thomas McCarthy.

Mengangkat kisah tukang kasut, filem ini memperlihatkan aktor kesayangan ramai ini dalam karakter yang agak membosankan. Sebagai Max Simkin, dia bukan sahaja sering kelihatan murung, bahkan tidak terurus dan menjaga ibunya yang tua.

Namun, kehidupannya mula berubah setelah dia menemui keajaiban sebuah mesin kasut lama peninggalan bapanya. Dengan menggunakan mesin jahit tersebut, Max dapat 'bertukar' menjadi individu pemilik kasut tersebut. Bermulalah pengembaraannya yang melucukan buat Max. Bagaimanapun, dari situ, dia mula terjebak insiden jenayah yang akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Secara keseluruhan, The Cobbler bukanlah filem terbaik lakonan Sandler, namun ia tetap menghiburkan.

Memilih bandar yang padat, New York sebagai lokasi utama penggambaran, filem ini mengangkat konflik masyarakat di situ, yang mana golongan atasan sanggup menindas golongan miskin untuk kepentingan sendiri.

Kritikan sosial

Sesuai dengan genrenya, realism-comedy-drama, The Cobbler punya kekuatan tersendiri menerusi mesej yang dipaparkan. Meskipun kurang nilai humornya, namun ia sebenarnya sarat dengan sindiran dan kritikan sosial di negara yang maju seperti Amerika. 

Masalah jenayah, penempatan dan penindasan tetap berlaku demi kepentingan serta sikap tamak yang menguasai diri sendiri. 

Malah, menerusi watak Max Simkin kita dapat melihat Max dalam pelbagai karakter manusia dan bagaimana dia memilih nasibnya sendiri. Dengan keajaiban yang dimiliki, Max sebenarnya mampu melakukan apa sahaja, termasuk mengubah takdirnya, namun dia memilih untuk terus setia dengan sikapnya yang jujur dan lurus bendul. 

Sepanjang pertukaran karakter yang dilakukan, 'skaf merah' akan menjadi signifikasi kepada diri Max. Ia memberi tanda kepada penonton untuk mengenali Max. Malah itu juga kebijaksanaan yang terletak pada pengarahnya, agar penonton tidak keliru dengan karakter-karakter yang ditonjolkan.