KUALA BERANG - Penjaga dan ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memberi santapan rohani kepada anak mereka supaya mempunyai kekuatan fizikal dan spiritual.
Exco Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gappima), Datuk Shamsuri Shafie berkata, kekuatan spiritual itu mampu menjadi benteng dan mengelakkan diri daripada menerima gangguan makhluk halus.
“Tidak dinafikan histeria sering kali mengganggu pelajar dan ia boleh merebak dengan cepat kepada pelajar lain yang lemah rohaninya.
"Gangguan ini menyebabkan ramai yang tidak sedarkan diri pada satu-satu masa" katanya.
Kata beliau, keadaan histeria jika dirujuk pada hadis menyatakan disebabkan sejenis jin yang berpindah randah antara satu badan ke badan lain.
Jin terbahagi kepada tiga iaitu berterbangan di awang-awangan, mampu merupa haiwan berbisa dan berpindah-randah.
“Jenis jin yang ketiga itulah yang berkaitan dengan keadaan histeria.. disebabkan seorang pelajar yang pada mulanya terkena maka selang beberapa saat atau tempoh yang singkat ia mampu berpindah kepada pelajar lain.
“Pastinya terdapat cara khusus untuk membentengi diri dan sekolah daripada diganggu makhluk jin tersebut," katanya.
Kata Shamsuri, Sebagai langkah awal santapan rohani teramat penting dan aspek itu tidak seharusnya diketepikan bukannya hanya mengejar kecemerlangan akademik sahaja.
Beliau berkata demikian ketika menghubungi Sinar Harian untuk mengulas berhubung kejadian histeria melibatkan pelajar perempuan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah ini sebagaimana disiarkan akhbar ini kelmarin.
Akhbar ini kelmarin menyiarkan harapan ibu bapa agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan masalah histeria yang kian menjadi-jadi dua minggu belakangan ini hingga menjejaskan sesi pembelajaran.
Tambahnya yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, hadis juga ada menyatakan bahawa apabila dinamakan manusia terdapat dua perkara penting harus dijaga iaitu rohani dan jasmani yang memerlukan makanan.
No comments:
Post a Comment