KUALA TERENGGANU - Risda beri tumpuan pembentukan golongan usahawan dalam kalangan keluarga pekebun kecil di seluruh daerah pada tahun ini.
Pengarah Risda Terengganu, Rusly Yaacob berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai kursus menerusi pertubuhan Generasi Muda Pekebun Kecil (Gempek) membabitkan lebih 450 peserta sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, kursus yang dilaksanakan itu untuk melatih generasi muda pekebun kecil menjadi usahawan atau bekerja dalam bidang pertanian.
"Kita dedahkan mereka dengan pelbagai kursus termasuk perkebunan komersil dan tenaga mahir. Selepas itu kita beri latihan amali di estet swasta di seluruh negeri.
"Kursus yang dijalani banyak memberi peluang pekerjaan, malah ada antara peserta Gempek berjaya menjadi penyelia ladang, kontraktor dan sebagainya selepas tamat latihan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Risda Terengganu, di tapak Tanam Semula Kelompok Bukit Tinggi, di sini, kelmarin.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud.
Menurut Rusly, peserta Gempek juga diberi keutamaan untuk menerima bantuan sehingga RM10,000 daripada Risda bagi sesuatu projek yang bakal dijalankan.
"Misalnya ada peserta menjalankan perusahaan menjahit di rumah dan berhasrat mengembangkan perniagaan. Mereka layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan," katanya.
No comments:
Post a Comment