Tuesday, April 7, 2015

Mangsa Banjir Masih Tidur Dalam Khemah.



KUALA KRAI - Genap 100 hari banjir besar melanda Kuala Krai Disember tahun lalu, tidak banyak perubahan berlaku.

Masih ramai belum mendapat rumah dan ramai juga yang masih menunggu rumah dibaik pulih.

Perubahan yang jelas cuma sisa-sisa kediaman yang suatu ketika dahulu memenuhi jalan dan segenap ruang kampung kini kesemuanya telah dialihkan sebaik penduduk kembali ke kediaman masing-masing.

Bagi kawasan terjejas teruk iaitu Manek Urai yang menjadi viral di laman sosial di sebalik bencana di luar jangkaan itu, hanya lima kediaman kekal siap dibina untuk mangsa kehilangan rumah.

Lima penduduk bertuah ini bakal mendiami rumah kekal dibina kerajaan yang telah pun siap.

Bagi Rohani Majid, 71, dia rasa bertuah terpilih menerima rumah kekal daripada 138 penduduk di Manek Urai Selatan.

Menurutnya, rumah tiga bilik dan dibina dengan tiang agak tinggi sesuai sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada masa akan datang.

Ibu tunggal ini berkata, banjir 2014 merupakan kali pertama kediamannya dinaiki air seterusnya musnah sejak tinggal di kampung berkenaan pada 1960.

“Banjir 1967 antara yang terburuk berlaku, tetapi cuma dua anak tangga yang tenggelam. Namun di sebalik musibah agak berat ini, saya bersyukur  Tuhan gantikan saya kediaman baru,” katanya yang kehilangan suami tersayang akibat sakit, tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Zariah Yakob, 53, turut meluahkan rasa syukur turut menerima rumah kekal dibina kerajaan.

Menurutnya, ketika melihat kediamannya musnah, hidupnya bagai hilang arah kerana memikirkan tempat untuk dia dan keluarga berlindung.

Namun setelah dimaklumkan terpilih menerima rumah dari kerajaan, hanya rasa syukur mampu dipanjatkan kepada Tuhan Yang Esa.

“Saya sangat gembira menerima rumah yang telah siap dan akan diduduki tidak lama lagi.

“Walaupun sedih hilang rumah yang saya diami sejak zaman kanak-kanak lagi, tapi saya pasrah, ada hikmah di sebalik banjir besar baru-baru ini,” luah ibu tujuh anak ini.

Sementara itu, Rubiah Abd Latif, 37, berkata, dia terkilan suaminya, Abdullah Latif, 60, tidak sempat tinggal di rumah baharu.

Menurutnya, beliau dan suami telah dimaklumkan akan menerima rumah kekal.

“Kerja-kerja memunggah kayu mengambil masa menyebabkan rumah kami belum dibina bersama lima rumah yang telah siap. Saya berharap akan dapat mendiami rumah kekal selepas ini,” katanya.

Di sebalik kegembiraan mangsa banjir menerima rumah, masih ada yang menghuni khemah sejak selepas banjir di Manek Urai.

Bagi Siti Khadijah Yusog, 55, 100 hari tinggal di bawah khemah detik yang sukar digambarkan.

Menurutnya, dia dan suami terpaksa menahan bahang panas berada di dalam khemah pada siang hari.

Ibu empat anak ini berkata, sebelah malam bahang panas turut dirasai walaupun agak berkurangan berbanding siang hari.

“Saya masih mengharap agar dapat mendiami rumah kekal. Sekiranya ada pihak yang menawarkan rumah sementara ketika ini saya terima kerana sudah tidak sanggup tinggal di bawah khemah,” katanya.

Bagi kawasan Manek Urai Selatan, kini hanya sembilan rumah yang memiliki geran telah dibaiki.

Jumlah keseluruhan rumah rosak dan perlu dibaik pulih pula 271 buah dan 170 diluluskan untuk baik pulih.

cc: sinar harian

No comments:

Post a Comment