MUAR - Kritikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pandangan bersifat peribadi sebagai ahli Umno.
Veteran Umno Bahagian Bakri, Bahar Siran berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada orang ramai untuk membuat penilaian dengan teguran itu kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza.
“Setiap ahli Umno ada hak memberikan pandangan mereka mengenai kepimpinan seseorang pemimpin negara.
“Begitu juga Dr Mahathir, saya berpendapat beliau (Dr Mahathir) membuat kritikan terbuka kerana sayangkan negara ini dan mahu Malaysia terus maju,” katanya semalam.
Bahar berkata, ahli Umno perlu akur dengan etika dan peraturan parti.
“Kedudukan seorang pemimpin boleh ditentukan sama ada dalam persidangan perwakilan peringkat bahagian dan perhimpunan agung Umno Malaysia.
“Ini kerana dua mesyuarat ini menjadi platform kepada ahli atau perwakilan menyuarakan pandangan mereka mengenai sesuatu perkara untuk kelangsungan parti,” katanya.
Berhubung kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin yang menyatakan tindakan Dr Mahathir boleh memberi kesan negatif sekiranya tindakan tegur menegur dilakukan secara tidak berhemah, Bahar berkata, teguran mantan perdana menteri itu cukup berhemah kerana beliau juga bekas presiden Umno.
Katanya, sebagai seorang pemimpin yang baik, sememangnya perlu ditegur dan menerima teguran orang lain dan dia menyifatkan teguran itu adalah bersifat positif.
Dr Mahathir melalui artikel bertajuk Umno dan PRU14 di blog che-det.cc memberitahu bahawa rakyat sudah tidak percaya lagi terhadap kepimpinan Najib.

No comments:
Post a Comment