
PUNCAK ALAM – “Jangan sampai kami lingkup dan terpaksa gulung tikar gara-gara tak dapat tanggung kos,” demikian rungutan peniaga premis kedai makan di Astana Alam Fasa 3 yang berdepan masalah penjaja sehingga mengakibatkan kerugian.
Lot tempat letak kereta di sepanjang premis kedai makan itu dijadikan lubuk rezeki penjaja yang berniaga bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam sehingga menjadikan tapak berminyak dan kotor.
Seorang peniaga kedai makan, Mohd Yahaya Mat Yusup, 35, berkata, lambakan penjaja yang berniaga di tapak parkir kereta mulai rancak sejak dua bulan lalu.
“Tapak parkir yang disalah guna penjaja untuk berniaga menyebabkan pelanggan yang datang terpaksa meletakkan kereta jauh dan keadaan itu mengakibatkan pelanggan ‘lari’.
“Saya yang berniaga setahun di sini cukup tertekan apabila pendapatan jatuh hampir RM5,000 dalam tempoh 10 hari saja. Duit yang ada mana cukup nak bayar gaji pekerja dengan sewa RM6,000 sebulan.
“Bukan saya seorang yang terjejas, ada lagi empat peniaga kedai makan yang mana seorang terpaksa tutup kedai kerana tak sanggup tanggung rugi,” katanya.
Seorang lagi peniaga kedai makan, Saiful Fadzeli Suhaimi, 37, turut mempersoalkan isu penyalahgunaan tapak parkir untuk tujuan jualan yang sehingga kini masih tiada tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Isu sama sudah banyak kali dibangkitkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tapi penjaja seolah-olah ‘kebal’ sebab dikatakan di bawah persatuan. Kami bukan nak rosakkan periuk nasi sesiapa, tapi kalau boleh tempatkanlah penjaja ini di lokasi lebih strategik seperti benteng di tepi simpang masuk Fasa 3 ini.
“Janganlah depan kedai makan sampaikan kami terpaksa tanggung rugi, lagipun saya difahamkan masih belum ada tapak yang dikhususkan untuk penjaja selepas pemindahan ke Gerai MDKS Astana Alam Fasa 3," katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap penguatkuasaan untuk mana-mana penjaja tanpa lesen diperketat.
Bagi peniaga nasi kerabu, Mohd Azihafiz Hassan, 30, perkakas milik penjaja seperti khemah, kerusi, meja dan alat memasak ditinggalkan di tapak parkir sehingga menyusahkan orang ramai.
“Saya pun terkesan apabila ada persaingan jualan makanan yang sama dengan harga lebih murah, keadaan itu menyebabkan saya tersepit apabila pelanggan lari.
“Lagi-lagi isu mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekarang ini memang banyak yang menjejaskan peniaga,” katanya.
No comments:
Post a Comment