Friday, April 17, 2015

Pakej kahwin RM1,000 jadi tarikan

Pakej kahwin RM1,000 jadi tarikan
Rakesh Khan dan Haslinda antara pasangan mempelai yang akan disatukan pada 15 Mei ini. Gambar kanan: Nur Raisa dan Mohd Hairil Farhan tidak sabar menunggu hari bahagia disatukan dalam majlis yang meriah.
JOHOR BAHRU – Tawaran pakej perkahwinan serendah RM1,000 menjadi tarikan utama buat pasangan muda dari Johor Bahru, di sini memilih untuk disatukan sempena Karnival Walimatul Urus Mega, 15 Mei depan.

Bagi, Nur Raisa Kadir, 23, dan Mohd Hairil Farhan Ibrahim, 27, mengakui teruja menunggu detik bersejarah tersebut apatah lagi ia bakal disaksikan saudara terdekat dan ribuan yang lain.

Nur Raisa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di sini berkata, dia dan pasangan bersifat terbuka dan merasakan perkahwinan beramai-ramai ini lebih meriah.

“Saya memang membaca Sinar Harian dan apabila ternampak di Facebook, tanpa berlengah saya dan pasangan membuat pendaftaran, kerana pakej yang murah dan pelbagai hadiah menarik menanti kami.

“Ibu bapa saya dan mertua juga tidak ada masalah, malah kakak saya sebelum ini juga ada menyertai perkahwinan seperti ini di Putrajaya. Jika ada mengatakan ia tidak eksklusif, pandangan saya berbeza kerana ia satu pengalaman yang bukan semua boleh merasai,” katanya.

Nur Raisa berkata, mengikut perancangan asal, dia dan pasangan akan disatukan pada Ogos depan bagaimanapun terus mengambil peluang menerusi program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pulai dengan kerjasama Sinar Harian ini.

Manakala bagi pasangan Rakesh Khan Abdul Rahan, 35 dan Haslinda Hussin, 29, program yang dianjurkan menjimatkan kos apatah lagi dalam situasi kos sara hidup kini.

Rakesh yang bekerja sendiri berkata sememangnya berhasrat berkahwin pada tahun ini selepas lima tahun perkenalan mengakui program yang dianjurkan bertepatan pada masanya.

“Keluarga semua menyokong malah tunang saya yang memaksa untuk menyertai program ini kerana ia mudah dan jimat kos.

“Daripada kami mengeluarkan kos yang besar, kami berhasrat membeli rumah dan memulakan kehidupan berumahtangga dengan lebih stabil,” katanya.

Berbaki kurang sebulan lagi, Rakesh berkata, segala persediaan seperti dokumentasi dan pakaian pengantin telah disediakan yang kini hanya menunggu untuk disatukan.

Walimatul Urus Mega mengenakan bayaran RM1000 bagi setiap pasangan, terbuka kepada semua  warganegara Malaysia, selain menawarkan pakej cabutan bertuah untuk mengerjakan umrah selain pelbagai tawaran lain.

‘Jangan sampai kami gulung tikar’

‘Jangan sampai kami gulung tikar’
Lambakan penjaja yang berniaga di tapak parkir.

PUNCAK ALAM – “Jangan sampai kami lingkup dan terpaksa gulung tikar gara-gara tak dapat tanggung kos,” demikian rungutan peniaga premis kedai makan di Astana Alam Fasa 3 yang berdepan masalah penjaja sehingga mengakibatkan kerugian.

Lot tempat letak kereta di sepanjang premis kedai makan itu dijadikan lubuk rezeki penjaja yang berniaga bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam sehingga menjadikan tapak berminyak dan kotor.

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Yahaya Mat Yusup, 35, berkata, lambakan penjaja yang berniaga di tapak parkir kereta mulai rancak sejak dua bulan lalu.

“Tapak parkir yang disalah guna penjaja untuk berniaga menyebabkan pelanggan yang datang terpaksa meletakkan kereta jauh dan keadaan itu mengakibatkan pelanggan ‘lari’.

“Saya yang berniaga setahun di sini cukup tertekan apabila pendapatan jatuh hampir RM5,000 dalam tempoh 10 hari saja. Duit yang ada mana cukup nak bayar gaji pekerja dengan sewa RM6,000 sebulan.

“Bukan saya seorang yang terjejas, ada lagi empat peniaga kedai makan yang mana seorang terpaksa tutup kedai kerana tak sanggup tanggung rugi,” katanya.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Saiful Fadzeli Suhaimi, 37, turut mempersoalkan isu penyalahgunaan tapak parkir untuk tujuan jualan yang sehingga kini masih tiada tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu sama sudah banyak kali dibangkitkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tapi penjaja seolah-olah ‘kebal’ sebab dikatakan di bawah persatuan. Kami bukan nak rosakkan periuk nasi sesiapa, tapi kalau boleh tempatkanlah penjaja ini di lokasi lebih strategik seperti benteng di tepi simpang masuk Fasa 3 ini.

“Janganlah depan kedai makan sampaikan kami terpaksa tanggung rugi, lagipun saya difahamkan masih belum ada tapak yang dikhususkan untuk penjaja selepas pemindahan ke Gerai MDKS Astana Alam Fasa 3," katanya.

Dalam pada itu, dia juga berharap penguatkuasaan untuk mana-mana penjaja tanpa lesen diperketat.

Bagi peniaga nasi kerabu, Mohd Azihafiz Hassan, 30, perkakas milik penjaja seperti khemah, kerusi, meja dan alat memasak ditinggalkan di tapak parkir sehingga menyusahkan orang ramai.

“Saya pun terkesan apabila ada persaingan jualan makanan yang sama dengan harga lebih murah, keadaan itu menyebabkan saya tersepit apabila pelanggan lari.

“Lagi-lagi isu mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekarang ini memang banyak yang menjejaskan peniaga,” katanya.
 

Penyokong Liverpool Hina Penyokong Sedang Solat Akan Diambil Tinda


Gara-gara menghina peminat beragama Islam menunaikan solat di Stadium Anfield, seorang peminat pasukan bola sepak Liverpool akan di bakal dikenakan tindakan.

Kejadian tersebut berlaku 8 Mac lalu ketika pertemuan liga antara Pasukan tersebut dengan Blackburn Rovers apabila Stephen Dodds mencetuskan kontroversi di laman sosial Twitter apabila memuat naik gambar Asif Bodi dan Abu Bakar Bhula sedang bersolat ketika rehat separuh masa pertama.

Beliau memuat naik gambar tersebut dengan 'caption' berbunyi, "Orang Islam solat semasa rehat separuh masa perlawanan perlawanan semalam  #memalukan."


Kelab Bola Sepak Liverpool dalam kenyataan semalam telah menyatakan akan mengambil tindakan kepada individu yang menghina penyokong Islam tersebut dengan membuat satu laporan di Balai Polis Merseyside berkenaan tweet itu yang telah dimuat naik pada hari Ahad, 8 Mac.

Pihak polis telah menjalankan siasatan dan dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Liverpool untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu tersebut sehingga diberitahu kelak.



Kelab bola sepak tersebut juga mengeluarkan amaran kepada peminat-peminat bahawa mereka tidak akan bertolak ansur kalau terjadi lagi kes seperti ini dan menasihatkan supaya peminat tidak mewujudkan suasana diskriminasi dan komited dalam memastikan kelab tersebut mesra dan selamat untuk semua peminat tanpa mengira bangsa dan agama. - Siakapkeli.com.my

Penuntut UIAM tolak GST

 Penuntut UIAM tolak GST
Beberapa mahasiswa dalam usaha rundingan bersama pengawal keselamatan.

GOMBAK - Kira-kira 70 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkumpul menyuarakan bantahan terhadap perlaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), semalam.

Bagaimanapun, program siri jelajah kampus bantah GST yang sepatutnya diadakan di River Side UIAM berpindah lokasi pada saat akhir ke pekarangan kuliah Sains Manusia (Human Science), selepas tidak mendapat kebenaran universiti dan dikawal ketat pihak keselamatan.

Program anjuran We Unite For Islam (Wufi) UIAM dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) bermula jam 1 tengah hari dan tamat satu jam kemudian.

Wakil dari Gamis, Saiful Mujahid Mohd Fadhil berkata, GST perlu dimansuhkan kerana menyebabkan jurang golongan miskin dan kaya semakin ketara.

“Majoriti rakyat menolak GST kerana bukan semua rakyat mampu bayar cukai dan kita harap mahasiswa terus kekal membantah pelaksanaannya.

“Bantahan akan berterusan dan minggu depan kita akan perkenalkan kemeja T bantah GST untuk menolak sistem percukaian ini,” katanya.

Sementara itu wakil dari Wufi UIAM, Azkar Zahidi berkata, mahasiswa membantah kerana merasai masalah akibat perlaksanaan GST.

“Kita terkesan dengan GST tapi gaji ahli parlimen dinaikkan pula. Ramai pemimpin menolak GST kerana kesannya jadi kita perlu mengekalkan pendirian membantahnya,” katanya.

Rafizi: 'Saya tak takut Najib saman saya'

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian 

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui 'teruja' untuk mempertahankan kenyataannya berhubung saman yang difailkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkenaan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Jelas Rafizi, beliau dan barisan peguamnya sudah menjangkakan tuntutan tersebut akan dibawa ke mahkamah.

“Saya teruja untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah. Semasa saya mendapat surat tuntutan dalam bulan Disember lepas, saya ada membincangkan kemungkinan saman ini dibawa ke mahkamah.

"Peguam-peguam saya turut teruja untuk menyoal balas Najib dan Rosmah di mahkamah nanti, seperti mana seluruh rakyat Malaysia ternanti-nantikan saat itu.

Najib dan isterinya memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pandan itu dan pemilik portal online 'Mediarakyat.net' berhubung video ucapan penghapusan subsidi minyak dalam satu forum pada 22 November, tahun lalu.

Najib dan Rosmah masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua atas kapasiti peribadi memfailkan saman itu melalui Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 April lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Rosmah fail saman terhadap Rafizi]

Mereka menamakan Rafizi dan pemilik portal Media Rakyat, Chan Chee Kong sebagai defendan pertama dan kedua.

Rafizi dalam pada itu menyifatkan tuntutan saman tersebut sebagai satu cara untuk menakutkan pemimpin PR.

“Saya percaya ini sebahagian dari usaha untuk menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat dari terus bersuara mengenai isu-isu rakyat.

“Saya akan terus bersuara dan tidak akan takut dengan tindakan-tindakan mahkamah seperti ini,” tegasnya.

Wednesday, April 15, 2015

GST: Emosi rakyat terganggu dengan kenyataan Ahmad Maslan - Pakar psikologi

GST: Emosi rakyat terganggu dengan kenyataan Ahmad Maslan - Pakar psikologiPAKAR PSIKOLOGI: GST: Emosi rakyat terganggu dengan kenyataan Ahmad Maslan - Gambar fail 
KUALA LUMPUR: Emosi rakyat negara ini yang terganggu dengan beberapa kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat bakal pulih dalam sedikit masa lagi.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, pelbagai pendapat rakyat terutama di media sosial dilihat proses biasa meluahkan perasaan yang normal bagi setiap manusia.

"Mereka akan menggunakan medium media sosial yang dilihat lebih mudah, selain diakui ia menjadi viral namun masih dilihat normal.

"Memang lumrah bagi manusia apabila rasa ditekan, mereka akan menyatakan rasa tidak puas hati namun ia hanya berbentuk sementara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Abdul Jalil mengulas keluhan masyarakat terutama di media sosial mengenai reaksi pelaksanaan GST.




Ia menjadi lebih 'panas' apabila Ahmad mengeluarkan beberapa kenyataan yang dilihat tidak menyebelahi pelajar kampus.

Ahmad dilaporkan berkata, kenyataannya tentang saranan untuk masak sendiri dimanipulasi kumpulan tertentu.

Bagaimanapun, Bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menasihati pelajar universiti itu untuk tidak membesarkan isu keperluan memasak di kampus atau rumah sewa selepas pelaksanaan GST sebagai faktor yang boleh menjadikan mereka mati kebuluran.

Dalam pada itu jelas Dr Abdul Jalil, masyarakat akan faham kelak mengenai kenyataan Ahmad mengenai GST yang memberi faedah kepada semua.

"Macam seorang ayah yang memberi nasihat kepada anaknya, semasa kecil anak itu mungkin memberontak dan enggan menurut kata.

"Namun akhirnya apabila anak itu berjaya, dia akan ingat kembali nasihat itu yang membawa kejayaan kepada dirinya, pastinya ia mengambil sedikit masa," ujarnya.

Katanya lagi, walaupun dilihat menjadi kambing hitam, ia disifatkan tidak mematahkan semangat Ahmad untuk terus menjadi perantara kerajaan dengan rakyat dalam isu berkenaan.

"Kemarahan rakyat kini seumpama air limpah, mereka emosi dan ia seharusnya dialurkan ke jalan yang betul agar tidak timbul kesan negatif pada masa akan datang.

"Ahmad perlu bijak menyerap tekanan dan terus memberi penerangan tentang isu yang membawa kebaikan kepada negara," jelasnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan kenyataan Ahmad yang memaafkan semua pihak yang menohmahnya mengenai isu GST.

"Saya sedia dari segi mental dan fizikal, tetapi harap pihak-pihak tertentu berlaku adil, janganlah kata ibu saya khinzir, janganlah kata saya mati malam tadi, itu terlalu teruk.

"Menurut pihak kastam, pelaksanaan GST ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk stabil sepenuhnya, jadi saya bersedia untuk dihentam dalam tempoh ini. Tetapi saya harap operasi berkaitan GST akan stabil dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.

Sebelum ini, Ahmad menjelaskan pelaksanaan GST boleh menurunkan harga barang seperti kereta, perabot dan juga barangan elektrik. 

CEO potong gaji sendiri untuk naikkan gaji pekerja

CEO potong gaji sendiri untuk naikkan gaji pekerjaPrice percaya gaji yang diterimanya sangat tinggi jika dinilai mengikut keadaan semasa. 
Kuala Lumpur: Seorang lelaki berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), menjadi topik perbualan ramai apabila dia mengumumkan akan menaikkan gaji 120 orang pekerjanya dengan cara memotong gajinya sendiri.

Lelaki tersebut, Dan Price, yang merupakan CEO syarikat Gravity Payments yang beribu pejabat di Seattle, Amerika Syarikat, mengumumkan polisi gaji minimum di syarikatnya iaitu $70,000 (RM257,533.13).

Ia merupakan pelan jangka panjang untuk mengelakkan syarikat tersebut menanggung hutang yang banyak, dan Price, 30, akan melaksanakan rancangan itu dengan cara memotong gajinya sendiri sebanyak 90 peratus.

Kata Price, gaji yang diterimanya sekarang adalah mengikut kadar pasaran dan ia terlalu tinggi jika dinilai mengikut keadaan semasa.

Biarpun sudah biasa hidup mewah sebelum ini, namun pergaulannya dengan rakan-rakan yang berpendapatan rendah dan sederhana membuka mata Price betapa dia sangat perlu bertimbang rasa dengan para pekerjanya.

Dia juga nampaknya tidak kisah untuk menukar cara hidup mewah kepada cara hidup yang lebih sederhana.

"Saya masih bujang, dan saya cuma punya seekor anjing. Lagipun, kadangkala, lebih banyak duit yang anda miliki, lebih sukar hidup anda," kata Price.

Price mengasaskan Gravity, sebuah syarikat pemprosesan pembayaran kad kredit, ketika berusia 19 tahun.